Selamat Datang Ke Blog "NASI KERABU"
-KOMEN dari anda, sangat memerlukan-



5 March 2010

Kemenangan ‘Obama – Obamark’

Kemenangan ‘Obama – Obamark’ : umat Islam tetap tidak mendapat pembelaan

Oleh: Fais A.
Barrack Obama, satu nama yang begitu popular dan menjadi sebutan bukan sahaja masyarakat Amerika Syarikat (AS) malah dunia amnya. Obama dianggap muncul tepat pada masanya-menjadi wira dan penyelamat yang dinanti-nantikan oleh masyarakat dunia. Begitu juga dengan masyarakat Islam, yang menaruh seribu harapan terhadap kemunculan presiden baru ini agar isu-isu yang berlaku terhadap negara Islam seperti isu Palestin, Iraq, dan Afghanistan dapat diselesaikan dengan mengembalikan kebebasan, keadilan dan juga hak mereka yang telah dirampas selama ini. Tidak dapat dinafikan lagi, salah satu faktor yang memungkinkan kemunculan Obama sebagai presiden AS, adalah disebabkan sokongan kuat orang-orang Islam di AS khususnya dan umat Islam di setiap pelusuk dunia, amnya.

Muslimin dan Muslimat yang saya kasihi, cuba kita mengimbas kembali kemenangan George W. Bush (Terrorist sejati) pada tahun 2000, pastinya ada sesuatu yang sepatutnya disimpan sebagai pengajaran oleh umat Islam seluruh dunia, dan muslim AS khususnya. Kemenangan Bush ketika itu sebahagian besarnya disebabkan oleh calon naib presiden Parti Demokratik, Joseph Lieberman, ialah seorang Yahudi. Muslim AS memilih Bush hanya kerana bencikan Yahudi namun akhirnya, hanya selepas satu penggal Bush menduduki White House, muslim AS menarik balik sokongan kerana kecewa dengan tindak-tanduk Bush yang ternyata memusuhi umat Islam. Apa yang timbul dalam benak penulis sekarang ini ialah: Apakah Obama juga akan melakar sejarah yang sama seperti Bush? Adakah titisan air mata darah umat Islam akan terus mengalir dan nyawa umat Islam akan terus terkorban sebagai tanda terima kasih Obama terhadap orang muslim yang penyokongnya?

Pada hari perlantikan Obama pula, seluruh dunia telah mendengar ucapannya yang berbentuk perjuangan menuntut hak kesamarataan dan kebebasan setiap individu.

“…the God-given promise that all are equal, all are free, and all deserve a chance to pursue their full measure of happiness"
[1].

(Tuhan memberikan jaminan bahawa setiap manusia adalah sama, semua ada kebebasan dan setiap orang ada hak dan peluang untuk mencapai dan memenuhi kebahagian untuk diri mereka sendiri).


Ironinya, di saat itulah penduduk Palestin di bumi Gaza bermandian darah dan menangisi kemusnahan tanah air mereka. Penderitaan kanak-kanak kecil dan mereka yang tidak berdosa ini adalah akibat serangan sekutu kuat AS, iaitu ISRAEL!!!. Apakah tindakan Obama??? Ke mana perginya Obama di saat umat Islam mengharapkannya??? Hakikatnya, Obama hanya melihat keadaan itu dari jauh tanpa apa-apa tindakan sehingga hari ini. Obama belum dilihat bertindak tegas terhadap tragedi kemanusiaan terbesar pada masa kini yang berlaku di Gaza walaupun telah sah dilantik sebagai Presiden AS. Obama seolah-olah ‘pejam mata’ bila dihadapkan dengan kekejaman Israel. Semua ini hanyalah kerana kejayaan Obama menguasai kerajaan sebenarnya banyak bergantung kepada kuasa Israel. Oleh itu, Obama perlu mengikut ‘telunjuk’ Israel bagi mengekalkan kuasa pemerintahannya.

Pastinya umat Islam akan terus dibelenggu pertanyaan demi pertanyaan. Ke mana perginya janji-janji Obama semasa kempennya dulu??? Apakah harapan muslim di seluruh dunia bahawa dasar luar pentadbiran Obama akan lebih mesra dengan negara-negara Islam, dan akan mengamalkan pendekatan dialog, hanya akan tinggal harapan??? Dan beribu-ribu lagi soalan yang akan ditanya, kenapa, apa, bagaimana, mengapa dan sebagainya...sedangkan hakikat sebenarnya soalan-soalan seperti ini sudahpun terjawab oleh presiden-presiden AS sebelum Obama. Cuma kita umat Islam sendiri yang tidak mengambilnya sebagai pengajaran dan mudah terleka dengan janji-janji manis mereka. Beribu harapan..akhirnya tinggal kehampaan.

Tulisan seorang penganalisis politik, Christian Brose yang bertajuk ‘The Making of George W Obama’ amat menarik perhatian saya. Dalam tulisannya itu, dia turut menjangkakan yang pentadbiran penggal pertama Obama mungkin akan tetap meneruskan dasar-dasar luar penggal kedua Bush. Jika benar jangkaan itu, apalah ertinya sokongan masyarakat muslim di AS dan muslim di seluruh dunia? Nampaknya sama sahaja sokongan yang diberikan kepada ketua terrorist dunia-Geroge W. Bush...akhirnya nanti umat Islam juga yang menjadi mangsa keganasan kaum kuffar ini. Seharusnyalah kita berdiri di atas jalur sejarah silam dan memahami hakikat mengapa Allah melaknati kaum Yahudi dan Nasrani.

“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka
[2]

Jika itu secebis kisah Obama di AS, bagaimana pula dengan kisah Obamark (Abhisit Vejjajiva) di Thailand??? Kemenangan Obamark sehingga dapat menduduki kerusi yang tertinggi ini adalah disebabkan sokongan daripada Perikatan Rakyat Demokrasi (PAD)
[3]. Selain itu, pengaruh institusi raja dan tentera Thai dikatakan memainkan peranan di sebalik tabir yang telah membuatkan parti politik kecil yang lain memberi sokongan kepada Demokrat, bagi membolehkan Obamark menduduki kerusi Perdana Menteri Thai. Hal ini begitu nyata dan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana hal ini sudah diketahui oleh semua rakyat Thai.

Kemenangan Obamark juga memberi seribu harapan kepada rakyat, negara dan institusi raja agar dapat menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku di dalam negara. Antaranya, krisis politik, ekonomi, kehidupan rakyat, dan yang terpenting sekali ialah krisis yang melibatkan tuntutan sebahagian besar rakyat Thai, iaitu perubahan daripada sistem beraja kepada presiden. Krisis yang melibatkan sistem beraja inilah menjadi pemangkin golongan istana menyokong penuh parti Demokrat, dengan satu harapan, parti ini akan dapat menyelesaikan masalah tersebut dan seterusnya mengekalkan institusi raja sebagai sebuah institusi yang disanjung tinggi oleh keseluruhan rakyat Thai.

Secara peribadinya saya yakin, sama ada krisis ekonomi, politik, kehidupan rakyat Thai dan sebagainya akan dapat ditangani oleh kebijaksanaan Obamark. Tetapi bagaimana dengan nasib orang-orang Islam di selatan Thai??? Apakah kemenangan Obamark sebagai Perdana Menteri Thai yang baru akan dapat mengembalikan kestabilan politik dan keadilan di wilayah-wilayah tersebut???. Bolehkah kata-kata Obamark selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinetnya ini dipegang sebagai satu sinar baru dalam konflik yang berlarutan di Selatan Thai???:

“Kerajaan saya menganggap dasar mengenai selatan Thai sebagai salah satu dasar paling penting dan saya akan memanggil semua agensi terlibat untuk membincangkan mengenai isu selatan
[4]

Bagi pandangan penulis, Obamark nampaknya sama seperti Obama, yang suka menabur kata-kata manis untuk memperhiasi diri, untuk memperlihatkan kepada rakyat jelata bahawa dia adalah watak yang baik dan berdiplomasi. Tetapi sayang seribu kali sayang, sebulan telah berlalu sejak kenyataan itu dikeluarkan, namun apa yang berlaku di wilayah selatan Thai masih lagi sama - pengeboman, pembunuhan, penderaan fizikal dan mental, dan kekejaman masih terus menyulami kehidupan harian orang-orang Islam di sana. Contoh yang terdekat, kisah seorang imam yang berumur 42 tahun yang telah ditangkap pihak berkuasa, namun telah dibebaskan kerana tiada bukti menunjukkan beliau terbabit dengan konflik yang berlaku di Selatan Thai. Sedihnya, baru sahaja keluar dari tahanan pihak berkuasa, beliau telah ditembak mati di depan masjid di Saiburi, Patani sebelum umat Islam menunaikan solat Jumaat pada 30/01/2009 yang lalu. Apakah ini dasar terhadap selatan Thai seperti yang dijanjikan Obamark? Apakah tidak berharga nyawa seorang Islam bagi Obamark?

Hari demi hari, peristiwa demi peristiwa terus berlaku di tanah warisan orang Islam, namun persoalannya: Mengapa orang Islam pula yang dianggap pengganas???. Inikah yang dinamakan KEADILAN??? Apakah ini makna KEADILAN bagi Obamark??? “Keadilan perlu diwujudkan di tiga wilayah selatan Thai” merupakan kata-kata yang selalu disebut oleh Obamark dan kabinetnya. Tetapi sampai ke hari ini, KEADILAN..tidak pernah dirasai oleh orang Islam di sana. Seharusnya keadilan mesti dapat dirasai dan dilihat dengan mata kasar, jika hanya sekadar berazam untuk berlaku adil, pastinya tidak memadai (Justice must be seen to be done). Nampaknya Obamark berdiri sama tinggi dengan Obama yang cuma pandai menabur janji-janji manis bagi mengaburi mata masyarakat Islam selatan Thai dan umat Islam di seluruh dunia!.

Begitu juga dengan polisi yang dibawa oleh Obamark, walaupun nampak lebih berdiplomasi namun hakikatnya polisi itu tidak jauh bezanya dengan polisi beberapa perdana menteri sebelum ini. Cara Obamark menangani kes pelarian Rohingya jelas memperlihatkan bahawa beliau berhutang budi kepada pihak tentera. Beliau terus mempertahankan tindakan pihak tentera walaupun dunia telah mengetahui kisah penderaan dan kekejaman yang dilakukan oleh tentera Thai ke atas pelarian Rohingya. Alasan yang diberikan untuk menghalalkan segala bentuk kekejaman ini, adalah pelarian Rohingya itu dikatakan berpotensi menjadi ‘pengganas Islam’ di kawasan Selatan Thai. Menurut seorang penganalisis politik di Universiti Chulalongkorn, Thitinan Pongsudhirak, Obamark perlu mengambil sikap sedemikian kerana tentera memainkan peranan besar sehingga membolehkan Parti Demokrat (pimpinan Obamark) berjaya menguasai kerajaan. Obamark nampaknya perlu untuk terus melindungi pihak tentera yang sememangnya mencatat rekod buruk, terutamanya apabila berhadapan dengan masyarakat Islam. Cara Obamark ini saling tak tumpah dengan cara Obama yang berusaha mengambil hati pihak yang telah menaikkan mereka sebagai pemerintah.

Begitulah sedikit kisah Obama-Obamark yang baru sahaja memegang tampuk pemerintahan namun telah mula menunjukkan taring masing-masing. Kenyataan pahit yang harus diterima umat Islam, walaupun Obama dan Obamark adalah dua insan yang berbeza kepercayaan dan berkuasa di dua tempat yang berbeza namun kesan nyata yang dapat dilihat daripada pemerintahan Obama-Obamark ini, ialah ‘UMAT ISLAM TETAP TIDAK MENDAPAT PEMBELAAN’. Oleh itu, sedarlah umat Islam, bukalah mata seluas-luasnya, dan fikirlah sedalam-dalamnya...adakah ‘BERBALOI’ kita menyokong Obama-Obamark yang dalam senyap cuba menghancurkan umat Islam? Berhentilah dari terus mengharap kepada insan-insan yang bukan seagama dengan kita. Bukalah kembali lipatan sejarah silam yang boleh dijadikan pengajaran. Pernahkah kita membaca mana-mana catatan sejarah yang menyatakan bahawa: UMAT DARI AGAMA LAIN MENYELAMATKAN DAN MEMBELA NASIB UMAT ISLAM?

Saya menutupi kalam akhir saya dengan firman Allah SWT. di dalam kitab sucinya yang berbunyi:

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah nasib mereka..
[5]

...FIKIRKANLAH WAHAI SAUDARAKU...


_________________________________________________
[1] Ucapan Barrack Obama Semasa Perlantikan Jawatan President AS.
[2] Al-Quran, Surah Al-Baqarah: 120
[3] People’s Aliance for Democracy
[4] Kenyataan Abhisit selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinetnya.
[5] Al-Quran, Surah Ar-Ra’du:11


No comments:

Post a Comment