Selamat Datang Ke Blog "NASI KERABU"
-KOMEN dari anda, sangat memerlukan-



9 March 2010

Bahasa Melayu Patani di Tiga Wilayah Selatan Thai

oleh: Fais A.

Latar Belakang Penutur Bahasa Melayu Patani

Masyarakat Melayu di tiga wilayah selatan Thai (dikenali juga sebagai masyarakat Melayu Patani) merupakan salah satu kelompak minoriti di negara Thai, tetapi merupakan kelompak majoriti di tiga wilayah selatan Thai. Mereka ini merupakan orang Melayu dari segi kebudayaan, adat istiadat dan juga rupa paras. Menurut Paitoon (2005: 53), sekitar 75 peratus daripada penduduk di tiga wilayah selatan Thai beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dialek Patani (bahasa Melayu Patani) dan patuh kepada adat resam Melayu seperti penduduk di utara Malaysia. Manakala selebihnya lagi, iaitu 25 peratus merupakan mereka yang bukan berbangsa Melayu. Selain itu, selatan Thai yang dulunya merupakan bumi tempat kediaman bagi orang-orang Melayu telah berubah wajah dengan penaklukannya oleh kerajaan Thai. Hal demikian menyebabkan orang Melayu yang mendiami bumi asalnya berubah menjadi warga negara Thai (Chai Ruangsilapa 1974 dalam Worawit Baru 2001: 121). Mereka juga diwajibkan menganggap diri mereka berbangsa Thai dan berketurunan Thai. Walaupun pada hakikat sebenarnya, mereka ini berketurunan Melayu dan berbangsa Melayu.

Dalam setiap aspek kehidupan harian mereka, masyarakat Melayu Patani menggunakan bahasa Melayu Patani sebagai bahasa perhubungan utama mereka. Pada umumnya, bahasa Melayu Patani bukan sahaja digunakan dalam pergaulan seharian mereka, malah turut meliputi upacara adat dan keagamaan. Menurut Ismail Salleh (2007: 44), bahasa Melayu Patani telah wujud dan berkembang subur sejak ribuan tahun yang lampau, iaitu sebelum kerajaan Melayu Patani diletakkan di bawah naungan dan dijadikan sebahagian daripada entiti negara Thai. Oleh itu, bahasa Melayu Patani telah sebati dalam jiwa orang-orang Melayu dan turut menjadi lambang identiti orang Melayu. Bagi mengimbangi keadaan ini, kerajaan Thai telah memindahkan orang-orang Thai di bahagian utara ke tiga wilayah selatan Thai (Ahmad Fathi 2001: 199). Dengan demikian diharapkan dominasi penduduk dan budaya yang sebelum ini berwarna Melayu-Islam, sedikit demi sedikit akan bertukar ganti dengan unsur budaya Thai.

Bahasa Melayu Patani di Tiga Wilayah Selatan Thai

Bahasa Melayu Patani merupakan bahasa perantaraan dalam kalangan masyarakat Melayu di tiga wilayah selatan Thai. Sepanjang tempoh kewujudan kerajaan Melayu-Islam Patani, bahasa Melayu mencapai tahap kegemilangannya dan berperanan sebagai lingua franca dalam kalangan penduduk tempatan dan para pendagang yang menyebarkan Islam pada abad tersebut. Mohd. Zamberi (1994: 243) menyatakan bahawa bahasa Melayu Patani telah menjadi bahasa ilmu, dan berjaya meletakkan Patani sebagai pusat tamadun kesusasteraan Melayu Islam menerusi penghasilan karya kitab-kitab agama oleh para ulama. Penggunaan kitab-kitab agama itu sebagai bahan rujukan amat meluas sekali, sehingga sampai ke negara-negara timur tengah dan Afrika Utara.

Walau bagaimanapun, segala kemegahan terhadap bahasa Melayu itu sedikit demi sedikit mulai luntur apabila negara Melayu Patani dijadikan sebahagian daripada entiti negara Thai. Semenjak itu, kepentingan bahasa Melayu mula diabaikan oleh pihak kerajaan Thai. Beberapa perancangan dan usaha untuk menghapuskan budaya dan juga bahasa Melayu mula dijalankan oleh pihak berkuasa. Antaranya, ialah dengan mengharamkan pengajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah kerajaan dan juga dalam urusan rasmi di pejabat kerajaan. Tindakan ini secara tidak langsung membawa kesan yang amat besar kepada kedudukan bahasa Melayu di tiga wilayah selatan Thai.

Dewasa ini, terdapat sebilangan besar keluarga Melayu di tiga wilayah selatan Thai yang semakin hari semakin luntur darjah kesetiaan mereka terhadap bahasa ibunda mereka. Walaupun datuk nenek mereka dahulu berbahasa Melayu, namun kini mereka yang berpendidikan dan mempunyai kedudukan tinggi lebih selesa menggunakan bahasa Thai dalam pergaulan seharian mereka. Generasi muda juga telah mula seronok menggunakan bahasa Thai sesama mereka kerana sistem pendidikan yang mengutamakan bahasa Thai. Keadaan ini dapat memberi satu gambaran kejayaan pihak kerajaan Thai dalam usaha mewujudkan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat Melayu. Namun usaha tersebut tidak memberi kesan yang positif terhadap kedudukan bahasa Melayu Patani di Thai umumnya, dan di tiga wilayah selatan Thai secara khususnya.

Pengaruh bahasa Thai yang begitu kuat ke atas bahasa Melayu Patani serta beberapa polisi pihak berkuasa yang bertujuan untuk menghapuskannya, merupakan antara faktor utama yang menyebabkan kedudukan bahasa Melayu Patani semakin lemah dan tergugat dari semasa ke semasa. Ahmad Fathi (2001:209) dalam membincangkan perihal kemerosotan bahasa Melayu Patani menyatakan bahawa lapangan yang boleh dikuasai bahasa Melayu Patani sekarang ini hanyalah dalam pergaulan seharian, penyampaian khutbah, dan pengajaran agama di masjid atau madrasah. Tambah beliau, bahasa Melayu tidak digunakan lagi dalam urusan rasmi dengan kerajaan, media massa, di papan tanda, dan bahasa Melayu juga tidak digunakan di mana-mana.


____________________________________________

Rujukan

Ahmad Fathi. 2001. Pengantar sejarah Fathoni. Kota Bharu: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Ismail Salleh. 2007. Bahasa Melayu di negara Thai. Dewan bahasa. September: 43-45.

Fais Awae. 2009. Bahasa Melayu Patani dalam Kalangan Mahasiswa/i Melayu dari Tiga Wilayah Selatan Thai: Pemeliharaan dan Penyisihan. Tesis Sarjana, Universiti Kebangsaan malaysia.

Mohd. Zamberi A. Malek. 1994. Patani dalam tamadun Melayu. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Paitoon M. Chaiyanara. 2005. Transmorfofonologisasi suprafiks: dialek Patani merentasi zaman. Jurnal Bahasa 5(1): 51-67.

Worawit Baru. 2001. Jati diri Melayu Thailand. Dlm. Abdul Latif Abu Bakar (pngr). Dunia Melayu dunia Islam, hlm. 117-131. Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia.




1 comment:

  1. bahasa melayu patani semakin hari semakin hilang

    ini adalah kejayaan kerajaan Thai

    inshaallah kita semua akan jaga bahasa warisan ini

    ReplyDelete